Sunday, October 30, 2011

3.3 Prinsip-Prinsip Pembangunan Masyarakat

Prinsip-prinsip Pembangunan Masyarakat

Prinsip-prinsip pembangunan masyarakat mempunyai banyak persamaan dengan prinsip pendidikan pengembangan. Prinsip-prinsip tersebut secara ringkasnya adalah seperti berikut (ms.73-74) ;
1. Pembangunan masyarakat bermula daripada tahap di mana masyarakat itu sedang berada.
2. Program pembangunan masyarakat mementingkan masyarakat supaya bergabung, dan membentuk aktiviti yang dapat mampu membaiki taraf hidup masyarakat.
3. Program pembangunan masyarakat dibentuk berasaskan keperluan dan kehendak masyarakat ke arah meningkat taraf hidup
4. Aktiviti pembangunan masyarakat dijalankan menggunakan sepenuhnya sumber-sumber dalam masyarakat.
5. Pembangunan masyarakat perlu menggalakkan pembangunan kepimpinan tempatan.
6. Jawatankuasa masyarakat ( contoh : Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung - JKKK) menjadi nukleus bagi seluruh aktiviti pembangunan masyarakat.
7. Pembangunan masyarakat perlu menggunakan kemudahan yang disediakan oleh agensi pembangunan yang wujud sekarang.
8. Penglibatan ahli masyarakat adalah kunci ke arah pencapaian matlamat program pembangunan masyarakat.
9. Penyelarasan tugas di antara agensi-agensi pembangunan bagi mengelakkan pertindanan aktiviti dan pembaziran sumber-sumber.
10. Bantuan pihak kerajaan perlu untuk mendorong dan menentukan dasar program pembangunan selaras dengan matlamat negara.
11. Perubahan yang dibawa melalui program-program pembangunan berasaskan unsur-unsur pendidikan dan diharapkan tetap kekal.


Tujuan Pembangunan Masyarakat


1. Pencapaian objektif pembangunan daripada segi sosial, ekonomi dan kerohanian.
2. Membentuk kelompok atau organisasi sosial yang berfungsi.
3. Mengeratkan hubungan antara anggota masyarakat.
4. Menggalakkan pembentukan kepimpinan tempatan.
5. Menngemblengkan sumber-sumber masyarakat.
6. Menggalakkan perancangan di peringkat tempatan.
7. Meningkatkan kemampuan masyarakat menghadapi cabaran pembangunan.
8. Menggalakkan perancangan di peringkat tempatan.

Thursday, October 27, 2011

Bab 3 : Pengembangan & Pembangunan Masyarakat


Dalam kita ingin menganalisa tentang pembangunan luar bandar, dua perkara komponen utama yang penting dan saling berkait rapat tidak wajar dipisahkan iaitu (i) Pendidikan Pengembangan dan (ii) Pembangunan masyarakat.

Kedua-dua konsep ini walaupun secara kasarnya seakan-akan sama, tetapi setelah diperhalusi definisinya adalah berbeza.

Pengertian Pembangunan Masyarakat
Satu definisi yang telah diterima luas oleh masyarakat (United States International Cooperation Administration,1956) berbunyi, " Pembangunan masyarakat merupakan satu proses yang mana individu-individu dalam masyarakat itu bergabung untuk membuat perancangan dan tindakan. Merkea juga mengenalpasti masalah dan keperluan bersama, merancang bersama dan melaksanakan rancangan untuk mengatasi masalah dan memenuhi keperluan dengan menggunakan sumber dalam masyarakat. Rancangan tindakan oleh masyarakat juga perlu disokong melalui perkhidmatan yang datang daripada luar masyarakat khususnya badan-badan kerajaan dan swasta."


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga memberi definisi hampis sama dengan definisi di atas. Ia berbunyi, "Pembangunan masyarakat merupakan proses yang mana usaha manusia dalam masyarakat digabungkan dengan usaha-usaha badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk membaiki taraf ekonomi, sosial dan kebudayaan masyarakat supaya kemajuan ini nanti akan mewujudkan pembangunan negara keseluruhannya." (Jones et.al, 1982)

Justeru, penulis Prof Dr Maimunah Ismail telah memberi satu definisi pembangunan masyarakat yang agak universal (umum) seperti berikut (ms.71);

"Pembangunan masyarakat merupakan satu proses pergerakan masyarakat yang dirancang dan disusun sedemikian rupa untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan, kerohanian dan persekitaran melalui inisiatif dan penglibatan aktif masyarakat itu sendiri dan dengan bantuan yang paling minimum daripada luar."

Apabila diteliti, menurut penulis definisi pembangunan masyarakat boleh dirangkumkan daripada enam unsur penting iaitu;
(i) masyarakat sebagai satu unit sosial
(ii) inisiatif masyarakat dan kepimpinan
(iii) menggunakan sumber-sumber dari dalam dan luar sistem masyarakat
(iv) mementingkan penglibatan
(v) menggunakan pendekatan yang komprehensif hasil daripada gabungan individu
(vi) berdasarkan konsep demokrasi

Tuesday, October 25, 2011

Kepentingan & Cabaran Pengembangan (Perincian)

1. Pengembangan Bersifat Pendidikan
- Pengembangan mempunyai kedudukan penting dalam pendidikan bukan formal khususnya untuk masyarakat di luar bandar. Pengembangan dikatakan mempunyai kedudukan ciri-ciri pendidikan kerana ia membimbing, menasihati dan menunjukajar masyarakat supaya berada di tahap kemahiran yang lebih tinggi. Kesan daripada pembangunan sosio-ekonomi hari ini ramai daripada masyarakat luar bandar yang sudah celik dan menerima pendidikan secara formal. Manakala pengembangan dan ciri-cirinya sebagai pendidikan tidak formal secara langsung menerapi konsep pendidikan seumur hidup, suatu pendidikan yang tidak mempunyai batasan yang terhad bagi golongan penerima yang akan dididik dan dibangunkan.

2. Pengembangan Memerlukan Penyelidikan
Pengembangan sebagai proses pendidikan bukan formal mampu dilihat sebagai mekanisme untuk menyampaikan pengetahuan dan teknologi baru kepada penerima. Cara pengetahuan dan teknologi baru kebiasaannya diperoleh daripada aktiviti penyelidikan. Malah strategi dan kaedah pengembangan perlu diubahsuai mengikut perkembangan dan kemajuan pertanian, struktur penerima, institusi pertanian dan sosial, profil sosioekonomi dan sistem komunikasi. Pembaharuan ini secara tepatnya dapat dikenalpasti melalui penyelidikan.

3. Pengembangan Memerlukan Pekerja Pengembangan
Boleh dikatakan konsep pengembangan berkait rapat dengan bidang pertanian, yang mana hari ini sudah mampu menjadi bidang keberhasilan profesional (ms.62). Maka dengan itu tidak salah dikatakan konsep pengembangan merupakan satu disiplin yang profesional seperti cabang disiplin yang lain. Pengembangan tersebut mempunyai tenaga pekerja tersendiri yang dinamakan 'pekerja pengembangan'. Golongan ini juga dipanggil sebagai ejen perubahan. Kerja pengembangan amat rumit kerana ia melibatkan interaksi di kalangan individu dalam masyarakat. Mereka perlu memahami adat resam, nilai dan hati sanubari penerima semasa menjalankan tugas. Kerja pekerja pengembangan berbentuk dua hala; (i) menyampaikan pengetahuan kepada penerima dan sebaliknya ; (ii) mengumpul maklumat daripada penerima ke penyelidik untuk dicari penyelesaian. Semua ini memerlukan pekerja pengembangan yang sabar, cekap dan mampu berdampingan dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai ragam dan gelagat.

4. Perubahan Dalam Sektor Pertanian
Sektor pertanian hari ini tidak boleh dikatakan 100% bersifat tradisional (sara diri). Bentuk-bentuk perkhidmatan pengembangan yang disediakan turut sama berubah seiring dengan proses pemodenan yang berlaku. Misalnya program-program pengembangan yang dirangka perlu bersesuaian dengan taraf penggunaan teknologi pertanian. Sektor pertanian yang berskala berskala besar dan bercorak komersil pula berada di dalam satu rangkaian perkhidmatan yang saling menyokong perkhidmatan antara satu sama lain sebagai contoh perkhidmatan pemasaran, punca kredit, pemprosesan dan perkhidmatan perkembangan itu sendiri.

5. Perubahan Struktur Petani
Perubahan corak hidup masyarakat luar bandar perlu diambilkira dalam merangka program-program pengembangan dan juga perlu diperluaskan skopnya supaya tidak hanya terhad kepada aktiviti pertanian semata-mata. Implikasi penghijrahan penduduk dari desa ke bandar-bandar telah menghasilkan sejumlah penduduk bandar yang terdiri daripada pekerja yang rata-rata memperoleh pendapatan yang rendah. Justeru kelompok ini perlu mendapat perkhidmatan pengembangan demi menjamin taraf hidup yang stabil di desa dan bandar. Sebenarnya struktur penerima sentiasa berubaha dari hari ke hari. Program pengembangan juga sentiasa meneliti perubahan yang berlaku daripada segi pembangunan institusi tempatan, sistem politik dan corak kepimpinan masyarakat. Faktor-faktor inilah yang memberi pengaruh ke atas kejayaan dan keberkesanan program pengembangan yang dijalankan kerana ia merupakan sebahagian daripada asam garam dalam sistem penerima.

6. Pemodenan Sistem Komunikasi
Sistem komunikasi sedang berkembang dengan pesat. Kemudahan komunikasi bukan sahaja mempercepatkan penukaran maklumat tetapi juga juga mendekatkan antara dua individu/unit penerima atau lebih. Komunikasi juga mendedahkan masyarakat kepada segala punca maklumat sama ada secara sebaran am atau secara antara perseorangan (ms.65). Perlu diingat bahawa penerima bukan sahaja menerima maklumat daripada satu program pengembangan tetapi juga daripada pelbagai saluran komunikasi yang saling bersaing.

7. Penglibatan Penerima
Pembangunan pada hari ini bukan seperti kaedah tradisional. Ia lebih bercorak kepada penglibatan. Ia bermakna penglibatan bukan lagi daripada atas ke bawah (autrokratik) tetapi lebih bercorak dari bawah ke atas (demokratik). Pembangunan melalui penglibatan bersama daripada semua peringkat individu menyarankan program-program pengembangan yang dirangka memerlukan perbincangan bersama di antara perancang, penyelidik, pekerja pengembangan dan penerima (secara vertikal). Hanya melalui jaringan ini setiap individu yang terlibat akan merasai dan menghayati kerjasama sesuatu aktiviti yang dipertanggungjawabkan.

Monday, October 24, 2011

2.5 Kepentingan Dan Cabaran Pengembangan


Mengikut Dasar Pertanian Negara, istilah pengembangan merupakan sebahagian daripada strategi di bawah perkhidmatan sokongan pertanian. Mosher (1966) menerangkan kepentingan pengembangan dan hubungannya dengan unsur-unsur lain dalam konteks pembangunan luar bandar.

Beliau telah mengenalpasti dan memperkenalkan 'keperluan-keperluan utama' dan 'penderas' untuk pembangunan pertanian, yang mana perubahan yang berlaku ke atas faktor-faktor berikut. (ms.61)

Keperluan-keperluan utama tersebut;
- pemasaran hasil-hasil pertanian
- teknologi yang sentiasa berubah mengikut kemampuan penerima
- kewujudan input-input pertanian
- insentif untuk petani supaya meningkatkan pengeluaran
- pengangkutan

Faktor-faktor 'penderas' pula;
- pendidikan
- kemudahan kredit
- usaha tani secara berkelompok
- pertambahan tanah-tanah pertanian
- perancangan yang sempurna

Seterusnya kepentingan dan cabaran pengembangan dihuraikan daripada perspektif berikut (ms.61);
1. Pengembangan Bersifat Pendidikan
2. Pengembangan Memerlukan Penyelidikan
3. Pengembangan Memerlukan Pekerja Pengembangan
4. Perubahan Dalam Sektor Pertanian
5. Perubahan Struktur Petani
6. Pemodenan Sistem Komunikasi
7. Penglibatan Penerima

Friday, October 21, 2011

2.3 Falsafah Pengembangan

Usaha pengembangan pada dasarnya berasaskan konsep untuk membantu masyarakat membaiki taraf kehidupannya melalui proses pendidikan tidak formal. Ini bermakna matlamat pengembangan adalah ke arah membawa perubahan yang diingini kepada seseorang individu bukan sahaja daripada segi pengetahuan dan kemahiran sikap, tetapi juga nilai dan perlakuan yang berkaitan dengan interaksi kehidupan seharian. Jadi adalah diterima pada dasaranya iaitu pemindahan pengetahuan kepada masyarakat merupakan satu cara untuk membantu mereka dalam hal-hal membuat keputusan yang rasional.

Aktiviti pendidikan pengembangan yang dijalankan oleh agensi-agensi pembangunan hari ini tidak semudah aktiviti pendidikan yang dijalankan secara formal di sekolah-sekolah. Ini bererti bahawa walaupun pendidikan pengembangan itu merupakan satu pendidikan yang tidak formal tetapi mempunyai batasan tertentu daripada segi skop kokurikulum, kelompok penerima, bila dan di mana dilaksanakan, dan tidak kurang pentingnya ialah ia mempunyai landasan tertentu yang perlu dipatuhi.

Landasan inilah dipanggil prinsip. Sesuatu prinsip itu pula tidak akan wujud dan tidak kekal penggunaannya jika falsafah di sebalik prinsip itu tidak difahami dan dihayati oleh orang yang mengamalnya.

Falsafah adalah satu kenyataan dan pegangan tentang sesuatu amalan (Franco, 1966). Antara falsafah pendidikan pengembangan yang telah diterima secara universal adalah;

Falsafah 1- Individu akan berubah apabila ia merasai keperluan perubahan.
Falsafah ini menganggap seseorang individu tersebut adalah bijak, berkebolehan dan memerlukan pembaharuan apabila diberi peluang. Falsafah ini juga menyentuh aspek-aspek psikologi dan menyarankan bahawa penerima secara semulajadi mempunyai persediaan untuk mempelajari sesuatu.

Falsafah 2- Perubahan yang kekal hanya akan tercapai melalui proses pendidikan.
Ia bermakna seseuatu perubahan yang dialami seseorang perlu dilaksanakan secara beransur-ansur, bersistematik dan paling penting beralku perubahan daripada aspek-aspek pendidikan seperti perubahan pengetahuan (kognitif), kemahiran (psikomotor) dan sistem idea (Knowles, 1973)
Justeru itu, untuk masyarakat terus kekal menghayati perubahan yang dibawa, ketiga-tiga kombinasi tahap perubahan itu perlu dialami. Masyarakat akan mempelajari, menerima dan meyakini sesuatu pembaharuan hanya apabila ia dicuba dan dipraktikkan sendiri.

Falsafah 3- Manusia akan sampai ke tahap pencapaian yang tinggi jika mempunyai peluang berbuat demikian.
Sedia maklum, proses pendidikan merupakan proses yang beransur-ansur dan memakan masa. Dalam konteks kerja pengembangan, ia bergantung kepada faktor-faktor persekitaran dan suasana pembelajaran. Harus diingatkan, setiap individu mempunyai kekuatan tertentu untuk mempelajari sesuatu dan ciri ini perlu digembleng untuk membantu individu tersebut membaiki taraf hidupnya.

Falsafah 4- Pengembangan bermula di peringkat penerima.
Sebagai contoh mudah, proses pengembangan mestilah bermula daripada keadaan dan situasi petani yang ada seterusnya beransur-ansur meningkat ke tahap lebih tinggi. Ini memerlukan hubungan yang rapat antara ejen pengembangan dengan penduduk tempatan melalui penelitian situasi dan membuat kajian dengan cara paling ringkas hingga ke tahap yang lebih kompleks.

Falsafah 5- Proses demokrasi adalah asas perubahan.
Secara umumnya, proses pendidikan yang membimbing dan menasihati masyarakat perlu menerapkan unsur-unsur demokrasi suapaya masyarakat dapat belajar tanpa menerima tekanan emosi

Falsafah 6- Masyarakat memerlukan kepimpinan.
Aktiviti-aktiviti pengembangan dan pembangunan masyarakat pada asasnya merupakan proses tindakan sosial yang melibatkan kelompok-kelompok manusia. Kelompok ini agak tidak kukuh tanpa kewujudan kepimpinan. Kepimpinan sekiranya ada membolehkan pengembangan mengoperasikan falsafah iaitu kejituan pengembangan ialah bekerja bersama-sama dengan penerima, bukan sekadar untuk penerima.

Falsafah 7- Semangat jaya diri sebagai asas kejayaan.
Pengembangan secara am nya merupakan suatu usaha ke arah membaiki kehidupan masyarakat di mana sahaja mereka berada. Ia bertujuan meningkatkan daya pembelajaran masyarakat melalui usaha-usaha masyarakat itu sendiri.

Wednesday, October 19, 2011

Dasar Ekonomi Baru ( http://pmr.penerangan.gov.my )


Latarbelakang

Dilihat dari perspektif sejarah Malaysia, penjajah British menggalakkan perkembangan masyarakat secara 'plural' melalui amalan 'pecah' dan perintah. Pihak British telah menggalakkan kedatangan tenaga buruh dari negara China dan India untuk kepentingan ekonomi penjajah dalam sektor perlombongan bijih timah, perdagangan dan perladangan.

Penambahan penduduk dan peningkatan kegiatan ekonomi telah menyebabkan pertumbuhan bandar, jalan-jalan, rel-rel keretapi dan pembahagian kelompok kaum mengikut sektor ekonomi. Keadaan ini telah menyebabkan jurang perbezaan antara kaum, pembangunan bandar dan luar bandar bertambah besar.

Selepas mencapai kemerdekaan, Rancangan Malaya 5 tahun telah diperkenalkan. Rancangan Malaya Pertama, kedua dan Rancangan Malaysia Pertama dirancang untuk menitikberatkan kepada segi pertumbuhan dan pembaharuan ekonomi. Rancangan ini telah menunjukkan kelemahan dari segi strategi di mana corak atau sistem semasa penjajahan masih berterusan.

Rasional

Dari banci penduduk tahun 1970 didapati 49.3% dari semua keluarga di Semenanjung Malaysia menerima pendapatan di bawah garis miskin.Dari jumlah semua keluarga miskin 86% berada di kawasan luar bandar dan 14% di kawasan bandar. Kadar kemiskinan mengikut kaum pula adalah saperti berikut:


Kaum Kadar Kemiskinan ( % ) Pendapatan Purata Keluarga Sebulan ( RM )
Malayu 64.8 172.00
Cina 26.0 392.00
India 39.2 304.00
Lain-lain 44.8 813.00


Pemilikan Jumlah Pemilikan % ( RM Juta )
1. Bumiputera Perseorangan dan Agensi Amanah 279.6 4.3
a) Bumiputera Perseorangan 168.7 2.6
b) Agensi Amanah 110.9 1.7
2. Bukan Bumiputera 2233.2 34.0
3. Warganegara Asing 4051.3 61.7

Jumlah : 6564.1 100.0


Objektif

Menyedari kedudukan ketidakseimbangan sosial ekonomi itu , kerajaan telah mengusahakan supaya satu pendekatan baru dalam rancangan pembangunan negara yang melibatkan program 20 tahun yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru. Matlamat utama dasar ini diperkenalkan ialah bagi mewujudkan perpaduan negara dengan mengurangkan perbezaan ekonomi, sosial, kebudayaan, penempatan dan sebagainya.

Strategi Pelaksanaan

Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru adalah disusun dan dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:

i. Mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.
ii. Penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.


i. Membasmi kemiskinan

Kemiskinan adalah sebab utama yang menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat. Ianya bukan sahaja terdapat di luar bandar tetapi juga di bandar. Keadaan ini boleh menggugat perpaduan negara kerana masalah kemiskinan adalah mengikut kaum dengan kadar kemiskinan paling tinggi di kalangan orang Melayu yang tertumpu kepada aktiviti pertanian tradisional. Usaha telah dijalankan untuk menyelesaikan masalah sosial ekonomi dan projek pembangunan telah dirangka supaya:

i. Mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua golongan rakyat yang menganggur.
ii. Menambah daya pengeluaran dan pendapatan.
iii. Memberi peluang perpindahan orang yang bekerja di sektor yang rendah daya pengeluarannya kepada sektor yang lebih lumayan.
iv. Mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum antara kawasan bandar dan luarbandar dan antara wilayah.
v. Memodenkan kehidupan di luarbandar.
vi. Mewujudkan kumpulan perusahaan dan perdagangan bumiputera.
vii. Mengadakan suasana pekerjaan yang mencerminkan komposisi kaum di Malaysia.
viii. Memperbaiki taraf dan kualiti hidup rakyat melalui pelajaran, latihan, kesihatan, kemudahan kemudahan infra-struktur dan lain-lain.


ii. Penyusunan Semula Masyarakat

Adalah menjadi hasrat kerajaan supaya menjelang tahun 1990 pemilikan saham / ekonomi Malaysia akan melambangkan komposisi kepentingan kaum di negara ini, di mana penyertaan Bumiputera sebanyak 30%, 40% bukan Bumiputera dan 30% terdiri dari pelabur-pelabur luar negeri.

Dalam mencapai matlamat penyusunan semula Dasar Ekonomi Baru, strategi berikut telah disusun :

i. Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin melalui proses memodenkan kawasan luarbandar.
ii. Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga yang terdapat sekarang ini dengan cara yang progresif dan menerusi pertumbuhan ekonomi seluruhnya supaya pada tahun 1990 kedudukan tenaga buruh mencerminkan bilangan kaum.
iii. Menambahkan dengan lebih cepat lagi bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan modal dalam stok syarikat dan pertumbuhan ekonomi.
iv. Membentuk sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya dapat membentuk dan memiliki 30% ekonomi dalam tahun 1990 dan menubuhkan beberapa agensi saperti MARA, Bank Pembangunan, Bank Bumiputera,Amanah Saham Nasional.
v. Memajukan negeri dan kawasan yang dianggap mundur melalui pembangunan wilayah baru seperti DARA, KESEDAR, KEJORA dan sebagainya.


Penutup

Dasar Ekonomi Baru yang bermatlamatkan perpaduan negara melalui proses pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat didalam konteks keselamatan negara yang kukuh. Segala program pembangunan negara dan Dasar kerajaan semasa yang diperkenalkan adalah dirancang dan dilaksanakan untuk mencapai tujuan-tujuan diatas. Usaha ini memerlukan bukan sahaja usaha yang gigih dari kerajaan dan kakitangannya, malah ianya memerlukan perubahan sikap, tenaga dan pemikiran rakyat dari sektor swasta.


Monday, October 17, 2011

Bab 2 : Pengembangan & Kepentingannya Dalam Pembangunan (Siri 1)

Pada Bab Ke-2 buku Pengembangan - Implikasi Ke Atas Pembangunan Masyarakat yang bertajuk 'Pengembangan Dan Kepentingannya Dalam Pembangunan'; sepertimana yang saya telah pilih sebagai bahan rujukan dan pembentangan ini, kita akan melihat akan peri pentingnya pendidikan pengembangan sebagai salah satu konsep yang perlu masyarakat dan komuniti setempat.

Di dalam bab ini juga, saya berminat unutk berkongsi berkenaan latar belakang sistem pengembangan di peringkat antarabangsa dan negara khususnya di peringkat negara Malaysia.

Perkembangan Konsep Pengembangan Negara
Secara keseluruhan menurut penulis, kerja-kerja pengembangan telah berlangsung lebih satu abad yang lalu di kebanyakan negara khususnya negara-negara maju.

Pada peringkat permulaan, konsep pengembangan bermula dan tertumpu pada perkhidmatan memberi pendidikan dan nasihat kepada para petani secara perseorangan dan diikuti secara berkelompok untuk meningkatkan produktiviti pertanian melalui pengamalan pertanian yang baik.

Proses Pengembangan Melalui Dasar-Dasar
Masa kini di kebanyakan negara, kerja pengembangan telah mempunyai skop yang luas, berkaitan dengan penyebaran maklumat dan pendidikan tidak formal untuk faedah dalam kehidupan keluarga dan masyarakat di desa dan di bandar.

Begitu juga istilah kerja pengembangan berbeza mengikut masa dan tempat. Antara istilah yang membawa maksud kerja pengembangan pada sepanjang tempoh evolusi pengembangan ialah khidmat nasihat, pengajaran pertanian, pengembangan pertanian, penyebaran maklumat pertanian, pendidikan dewasa dan pendidikan tidak formal.

Secara ringkasnya evolusi pengembangan berlaku di beberapa buah negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, India dan Jepun. Amerika Syarikat dan United Kingdom diakui banyak pihak banyak mempengaruhi sistem dan konsep pengembangan di negara-negara yang dijajahi sekitar zaman perang.

Proses Pengembangan Di Malaysia Sepanjang 5 Dekad
Negara Malaysia, sebagaimana kebanyakan negara yang 'muda' dan sedang membangun banyak dipengaruhi oleh penjajah dan kuasa-kuasa luar. Ini kerana pihak penjajah kebanyakan berminat memperkenalkan sistem pengembangan demi kepentingan dan manfaat kepada mereka ketika itu.

Sistem pengembangan di Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai Tanah Melayu) berlaku apabila pihak British memperkenalkan Jabatan Pertanian pada 1905 (ms.40). Fungsi awal Jabatan Pertanian ini secara umum bertanggungjawab ke atas semua fungsi pembangunan dalam sektor pertanian.

Walaubagaimanapun pada peringkat awal aktiviti pertanian di Tanah Melayu hanya tertumpu kepada jenis tanaman utama seperti getah dan padi sebagai tanaman komersil. Namun usaha ini agak kurang berjaya apabila berlaku ketidakseimbangan berlaku dalam pembangunan kedua-dua pengeluaran komoditi tersebut atas dasar-dasar kapitalime kolonial.

Isu kesan tidak seimbang antara sektor perladangan dan sektor tani makin dirasai apabila dasar pertanian dilihat daripada aspek sistem pemilikan dan penggunaan tanah. Tanah-tanah yang bernilai tinggi dan hampir dengan jalan raya diperuntukkan khusus untuk sektor perladangan sementara penduduk hanya dibenarkan memiliki tanah yang kurang bernilai dan berpotensi seperti jauh di pedalaman.

Tahun 1956 merupakan tahun perubahan penting dalam sejarah Jabatan Pertanian apabila penubuhan rasmi pusat latihan pertanian, 'Pusat Latihan & Pembangunan Luar Bandar' (RETDC) yang terletak di Bumbung Lima, Seberang Prai Pulau Pinang. Ini membuktikan konsep pendidikan dihayatai dalam mengembangkan pengetahuan dan pendidikan kepada para petani (ms.43) Pusat ini terus berfungsi sehingga hari ini.

Menjelang Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975), suatu dasar yang baru telah dibentuk iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ia bertujuan membaiki kepincangan dasar-dasar pembangunan sebelumnya ke arah pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat khususnya daripada aspek-aspek ekonomi.

Kewujudan DEB telah membawa satu perubahan daripada segi dasar pembangunan, struktur kementerian dan organisasi serta program-program pembangunan yang mempunyai perspektif yang lebih luas dan sensitif terhadap situasi sosial dan ekonomi masyarakat. (ms.47)

Tahun 1970-an dilihat merupakan zaman yang banyak mengubah corak pembangunan di Malaysia ke arah corak tempatan yang mana sebelum itu lebih mirip kepada kehendak dan keperluan pihak luar.

Tema pembangunan pertanian bermula 1970-an lebih kepada konsep pertanian bersepadu. Ia mengutamakan pembangunan sektor tani daripada semua aspek secara seimbang seperti pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran pertanian; pembangunan kawasan dan infrastruktur serta perubahan sosiobudaya masyarakat yang dapat menghasilkan masyarakat lebih berdikari, responsif terhadap pembaharuan serta menjadikan pertanian sebagaio satu pekerjaan yang mampu menjamin kehidupan lebih sempurna dan tidak lagi dilihat sebagai gaya hidup masyarakat tradisional (ms.47)

Proses kerja pengembangan menjelang 1980-an pula merupakan dekad yang merangkai program-program perkhidmatan, yang bermatlamat dan berfungsi menuju satu tugas penting di antara semua agensi dan institusi berkaitan pertanian sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Rumusan
Semua proses kerja pengembangan di Malaysia sepanjang hampir 5 dekad yang lalu ternyata merupakan satu proses evolusi yang panjang. Jika di awalnya ia bermula dengan satu sistem yang agak mudah dan mempunyai matlamat jangka pendek, ia kemudian menjadi satu rangkaian evolusi kerja pengembangan yang agak kompleks dan bermatlamat murni meningkatkan nilai kesejahteraan masyarakat khususnya yang berada di luar bandar.

Tuesday, October 11, 2011

Bab 1 : Pembangunan & Konsep-Konsep Berkaitan (Siri 2)


1.3 Penggubalan Dasar Sebelum & Selepas Merdeka
Negara Malaysia diakui merupakan negara yang mempunyai corak pembangunan yang agak unik berbanding negara-negara Asean yang lain.

Antara yang keunikan yang dimaksudkan adalah dari sudut sejarah.

Topik seterusnya dibincangkan di dalam bab pertama ini adalah berkenaan pembentukan dasar-dasar pembangunan di negara Malaysia. 

Sama ada secara sedar atau tidak, keseluruhan pembangunan di negara Malaysia terbahagi kepada dua struktur (ms.11). Dasar-dasar tersebut adalah (i)dasar perancangan sebelum merdeka yang lebih berorientasikan kepada pencapaian matlamat pemerintahan penjajahan dan (ii)dasar-dasar perancangan pembanguan selepas merdeka iaitu ke arah membuang kesan-kesan penjajah.

Malaysia juga memiliki satu dasar berkaitan eko-sosial yang jelas bagi memandu perjalanan negara. Dasar atau rancangan tersebut dinamakan sebagai Rancangan Pembangunan Lima Tahun.

Ia bermula dengan Rancangan Malaya Pertama dan Kedua (sebelum penubuhan negara Malaysia) yang bertujuan memajukan penduduk luar bandar untuk merapatkan jurang perbezaan antara kawasan bandar dan luar bandar. Seterusnya ia diikuti dengan Rancangan Malaysia Pertama (RMK1 mulai tahun 1966–1970 sehingga yang terbaru negara kita sudah memasuki fasa Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) sehingga tahun 2015.

RMK10 telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 10 Jun tahun lalu di Parlimen. Ia mengandungi gagasan Program Transformasi Kerajaan dan Model Ekonomi Baru yang berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan. 

Program Program Luar Bandar (PLB)
Di akhir bab perbincangan buku ini telah membangkitkan berkenaan Program Luar Bandar (PLB). Kepentingan konsep PLB ini telah dijelaskan oleh penulis, perlu dalam menyelesaikan masalah kemiskinan dan kemunduran di negara-negara sedang membangun yang 'dapat dilihat melalui perkembangan literatur' hasil penyelidikan dan pembangunan (Research & Development - R&D) mengenainya.

Para sarjana tempatan telah memberi definisi khusus berkenaan PLB ini sebagai "satu proses meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui pembaikan dalam seluruh aspek pembangunan manusia."

Ciri-ciri utama bagi definisi di atas adalah PLB menumpukan kepentingan terhadap perkara-perkara tersebut (ms.17)
(a) pembentukan, pengemblengan & pengagihan sumber-sumber kepada penduduk luar bandar
(b) membentuk kemahiran dalam menjayakan projek-projek pembangunan tempatan
(c) pembentukan institusi tempatan yang kukuh
(d) penggemblengan sumber manusia & material

Penulis telah menekankan strategi-strategi PLB di Malaysia berdasarkan kategori-kategori berikut
 (ms.28);
- pembangunan infrastruktur & kemudahan asas
- peningkatan produktiviti pertanian
- pembangunan tanah & kawasan (wilayah)
- pembangunan in-situ (sedia ada)
- pendidikan, penyelidikan & pengembangan
- pembangunan sosial & institusi
- pembangunan sektor

Sebagai penutup kepada bab satu yang merupakan pengenalan kepada konsep-konsep pembangunan yang sedia ada atau dicadangkan lebih lanjut oleh penulis, penulis secara ringkas telah merumuskan konsep pembangunan adalah satu proses yang dinamik dan berlaku terus-menerus. Objektif utamanya adalah untuk manusia (ms.31). 

Program Pembangunan Luar Bandar (PLB) yang disentuh di akhir bab pula secara ringkasnya perlu difahami sebagai 'pengurangan polarisasi daripada pelbagai aspek yang mana matlamatnya untuk mengurangkan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.'

Daripada pemerhatian yang kemudian dirumuskan oleh penulis,bahawa 'pembangunan yang semata-mata bermatlamatkan hasil fizikal telah terbukti tidak dapat menjamin makna pembangunan yang sebenarnya.'

Sunday, October 9, 2011

Bab 1 : Pembangunan & Konsep-Konsep Berkaitan (Siri 1)

Konsep 'Pengembangan' ditafsirkan oleh penulis sebagai satu proses dan kaedah yang digunakan oleh pelbagai agensi pembangunan yang berteraskan pertanian.

Fungsi pengembangan telah menjangkau skop yang luas bukan sahaja pemindahan pengetahuan kepada petani tetapi juga isu-isu yang berkaitan dengan pengemblengan sumber-sumber masyarakat, kependudukan, peningkatan kemahiran melalui program-program latihan dan yang penting ialah mendidik masyarakat supaya menjadi rakyat yang berdikari dan bermotivasi ke arah kemajuan (ms. xi)

1.1 Pengertian Pembangunan

Istilah pembangunan dan pertumbuhan ekonomi berpegang teori bahawa konsep pembangunan merupakan satu proses perubahan daripada satu tahap ke tahap yang lebih tinggi secara seragam (linear).

Dekad 1960-an dikenali sebagai dekad permulaan konsep pembangunan. Istilah pembangunan juga mulai disemak semula. Di peringkat inilah ahli sosiologi mula mengambil bahagian secara aktif membahaskan konsep pembangunan apabila didapati teori-teori pembangunan sebelum itu dilihat sangat condong kepada pertumbuhan ekonomi. (ms.5)

Dalam erti kata ringkas sesuatu tempat, negeri atau negara membangun atau tidak ditafsirkan sebagai membangun apabila ekonomi berkembang atau menguncup.

Seorang sarjana antarabangsa, Seers (1969) mempertikaikan pengertian pembangunan dengan mengutarakan bahawa pembangunan dalam negara berlaku apabila tiga fenomena utama dapat dikurangkan daripada satu tahap yang tinggi (ms. 6). Fenomena yang disebut adalah (i) Kemiskinan (ii) Pengangguran (iii) ketidaksamaan.

1.2 Penunjuk Pembangunan
Rumusan daripada perbahasan-perbahasan para sarjana sejagat berkenaan konsep pembangunan, maka penulis Prof Dr Maimunah Ismail telah menggariskan beberapa indikator / penunjuk kepada satu-satu pembangunan (ms.8-10). Antaranya;
(a) Pendidikan - Peningkatan golongan yang berilmu & berintelek.
(b) Infrastruktur - bercorak fizikal.
(c) Kesihatan - berdasarkan kriteria demografi.
(d) Perumahan - kemajuan dari segi rumah mampu milik.

Thursday, October 6, 2011

Assalammu'alaikum pembuka bicara...

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Pemilik Segenap Alam Semesta. Juga selawat dan salam buat Junjungan Besar, baginda Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga Baginda serta para sahabat.

Sebelum saya memulakan tugasan sebagaimana yang dikehendaki oleh keperluan kursus, izinkan saya memperkenalkan diri terlebih dahulu.

Saya, Mohd Taufiq bin Yahaya, Nombor Matriks A128996. Berasal dari Alor Setar, saya kini sedang mengikuti Sarjanamuda Sains Dengan Kepujian (Fizik) di tahun tiga.

Sebelum ini saya telah memperoleh segulung Diploma di bidang Kejuruteraan Mekanikal (Loji) di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) Jitra, Kedah Darul Aman.

PENCARIAN BUKU RUJUKAN KURSUS
Dalam mengikuti perkuliahan kursus Globalisasi & Pembangunan Negara, saya telah memasuki Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM untuk mendapatkan beberapa buah buku yang yang berkaitan dengan subjek 'Globalisasi & Pembangunan Negara.'

Antaranya saya telah mendapatkan buku 'Megatrends', 'The Asian Styles' ,'Asian Reinassance' dan beberapa buah lagi.

Di akhir pemilihan, saya telah membuat keputusan untuk memilih 'Pengembangan : Implikasi Ke Atas Pembangunan Masyarakat' hasil penulisan Prof Dr Maimunah Ismail, kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Pemajuan Professional dan Pendidikan Lanjutan di Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM.

Bahagian-bahagian yang dibincangkan di dalam buku ini (akan diperincikan kemudian) antaranya;

1. Pembangunan & Konsep-Konsep Berkaitan
- Isu & Cabaran Pembangunan
- Pengembangan & Kepentingannya Dalam Pembangunan
- Pengembangan & Pembangunan Masyarakat

2. Pembentukan Program Pengembangan
- Konsep Pembentukan Program
- Pembentukan Objektif & Penilaian Program
- Komunikasi & Kaedah Pengembangan

3. Agensi Pembangunan Luar Bandar
- Peranan Agensi Pembangunan Luar Bandar

4. Agen Perubahan
- Konsep Asas Agen Perubahan
- Latihan Di Kalangan Pekerja Pengembangan

5. Sistem Penerima
- Penerima & Proses Penerimaanguna
- Kepimpinan & Institut Masyarakat

6. Penyelidikan, Pengembangan & Sistem Tani
- Hubungan Penyelidikan, Pengembangan & Sistem Tani
- Penyelidikan Sistem Tani
- Cabaran Pengembangan & Agenda Hari Ini