Dalam kita ingin menganalisa tentang pembangunan luar bandar, dua perkara komponen utama yang penting dan saling berkait rapat tidak wajar dipisahkan iaitu (i) Pendidikan Pengembangan dan (ii) Pembangunan masyarakat.
Kedua-dua konsep ini walaupun secara kasarnya seakan-akan sama, tetapi setelah diperhalusi definisinya adalah berbeza.
Pengertian Pembangunan Masyarakat
Satu definisi yang telah diterima luas oleh masyarakat (United States International Cooperation Administration,1956) berbunyi, " Pembangunan masyarakat merupakan satu proses yang mana individu-individu dalam masyarakat itu bergabung untuk membuat perancangan dan tindakan. Merkea juga mengenalpasti masalah dan keperluan bersama, merancang bersama dan melaksanakan rancangan untuk mengatasi masalah dan memenuhi keperluan dengan menggunakan sumber dalam masyarakat. Rancangan tindakan oleh masyarakat juga perlu disokong melalui perkhidmatan yang datang daripada luar masyarakat khususnya badan-badan kerajaan dan swasta."
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga memberi definisi hampis sama dengan definisi di atas. Ia berbunyi, "Pembangunan masyarakat merupakan proses yang mana usaha manusia dalam masyarakat digabungkan dengan usaha-usaha badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk membaiki taraf ekonomi, sosial dan kebudayaan masyarakat supaya kemajuan ini nanti akan mewujudkan pembangunan negara keseluruhannya." (Jones et.al, 1982)
Justeru, penulis Prof Dr Maimunah Ismail telah memberi satu definisi pembangunan masyarakat yang agak universal (umum) seperti berikut (ms.71);
"Pembangunan masyarakat merupakan satu proses pergerakan masyarakat yang dirancang dan disusun sedemikian rupa untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan, kerohanian dan persekitaran melalui inisiatif dan penglibatan aktif masyarakat itu sendiri dan dengan bantuan yang paling minimum daripada luar."
Apabila diteliti, menurut penulis definisi pembangunan masyarakat boleh dirangkumkan daripada enam unsur penting iaitu;
(i) masyarakat sebagai satu unit sosial
(ii) inisiatif masyarakat dan kepimpinan
(iii) menggunakan sumber-sumber dari dalam dan luar sistem masyarakat
(iv) mementingkan penglibatan
(v) menggunakan pendekatan yang komprehensif hasil daripada gabungan individu
(vi) berdasarkan konsep demokrasi
No comments:
Post a Comment