Tuesday, October 11, 2011

Bab 1 : Pembangunan & Konsep-Konsep Berkaitan (Siri 2)


1.3 Penggubalan Dasar Sebelum & Selepas Merdeka
Negara Malaysia diakui merupakan negara yang mempunyai corak pembangunan yang agak unik berbanding negara-negara Asean yang lain.

Antara yang keunikan yang dimaksudkan adalah dari sudut sejarah.

Topik seterusnya dibincangkan di dalam bab pertama ini adalah berkenaan pembentukan dasar-dasar pembangunan di negara Malaysia. 

Sama ada secara sedar atau tidak, keseluruhan pembangunan di negara Malaysia terbahagi kepada dua struktur (ms.11). Dasar-dasar tersebut adalah (i)dasar perancangan sebelum merdeka yang lebih berorientasikan kepada pencapaian matlamat pemerintahan penjajahan dan (ii)dasar-dasar perancangan pembanguan selepas merdeka iaitu ke arah membuang kesan-kesan penjajah.

Malaysia juga memiliki satu dasar berkaitan eko-sosial yang jelas bagi memandu perjalanan negara. Dasar atau rancangan tersebut dinamakan sebagai Rancangan Pembangunan Lima Tahun.

Ia bermula dengan Rancangan Malaya Pertama dan Kedua (sebelum penubuhan negara Malaysia) yang bertujuan memajukan penduduk luar bandar untuk merapatkan jurang perbezaan antara kawasan bandar dan luar bandar. Seterusnya ia diikuti dengan Rancangan Malaysia Pertama (RMK1 mulai tahun 1966–1970 sehingga yang terbaru negara kita sudah memasuki fasa Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) sehingga tahun 2015.

RMK10 telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 10 Jun tahun lalu di Parlimen. Ia mengandungi gagasan Program Transformasi Kerajaan dan Model Ekonomi Baru yang berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan. 

Program Program Luar Bandar (PLB)
Di akhir bab perbincangan buku ini telah membangkitkan berkenaan Program Luar Bandar (PLB). Kepentingan konsep PLB ini telah dijelaskan oleh penulis, perlu dalam menyelesaikan masalah kemiskinan dan kemunduran di negara-negara sedang membangun yang 'dapat dilihat melalui perkembangan literatur' hasil penyelidikan dan pembangunan (Research & Development - R&D) mengenainya.

Para sarjana tempatan telah memberi definisi khusus berkenaan PLB ini sebagai "satu proses meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui pembaikan dalam seluruh aspek pembangunan manusia."

Ciri-ciri utama bagi definisi di atas adalah PLB menumpukan kepentingan terhadap perkara-perkara tersebut (ms.17)
(a) pembentukan, pengemblengan & pengagihan sumber-sumber kepada penduduk luar bandar
(b) membentuk kemahiran dalam menjayakan projek-projek pembangunan tempatan
(c) pembentukan institusi tempatan yang kukuh
(d) penggemblengan sumber manusia & material

Penulis telah menekankan strategi-strategi PLB di Malaysia berdasarkan kategori-kategori berikut
 (ms.28);
- pembangunan infrastruktur & kemudahan asas
- peningkatan produktiviti pertanian
- pembangunan tanah & kawasan (wilayah)
- pembangunan in-situ (sedia ada)
- pendidikan, penyelidikan & pengembangan
- pembangunan sosial & institusi
- pembangunan sektor

Sebagai penutup kepada bab satu yang merupakan pengenalan kepada konsep-konsep pembangunan yang sedia ada atau dicadangkan lebih lanjut oleh penulis, penulis secara ringkas telah merumuskan konsep pembangunan adalah satu proses yang dinamik dan berlaku terus-menerus. Objektif utamanya adalah untuk manusia (ms.31). 

Program Pembangunan Luar Bandar (PLB) yang disentuh di akhir bab pula secara ringkasnya perlu difahami sebagai 'pengurangan polarisasi daripada pelbagai aspek yang mana matlamatnya untuk mengurangkan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.'

Daripada pemerhatian yang kemudian dirumuskan oleh penulis,bahawa 'pembangunan yang semata-mata bermatlamatkan hasil fizikal telah terbukti tidak dapat menjamin makna pembangunan yang sebenarnya.'

No comments:

Post a Comment