Usaha pengembangan pada dasarnya berasaskan konsep untuk membantu masyarakat membaiki taraf kehidupannya melalui proses pendidikan tidak formal. Ini bermakna matlamat pengembangan adalah ke arah membawa perubahan yang diingini kepada seseorang individu bukan sahaja daripada segi pengetahuan dan kemahiran sikap, tetapi juga nilai dan perlakuan yang berkaitan dengan interaksi kehidupan seharian. Jadi adalah diterima pada dasaranya iaitu pemindahan pengetahuan kepada masyarakat merupakan satu cara untuk membantu mereka dalam hal-hal membuat keputusan yang rasional.
Aktiviti pendidikan pengembangan yang dijalankan oleh agensi-agensi pembangunan hari ini tidak semudah aktiviti pendidikan yang dijalankan secara formal di sekolah-sekolah. Ini bererti bahawa walaupun pendidikan pengembangan itu merupakan satu pendidikan yang tidak formal tetapi mempunyai batasan tertentu daripada segi skop kokurikulum, kelompok penerima, bila dan di mana dilaksanakan, dan tidak kurang pentingnya ialah ia mempunyai landasan tertentu yang perlu dipatuhi.
Landasan inilah dipanggil prinsip. Sesuatu prinsip itu pula tidak akan wujud dan tidak kekal penggunaannya jika falsafah di sebalik prinsip itu tidak difahami dan dihayati oleh orang yang mengamalnya.
Falsafah adalah satu kenyataan dan pegangan tentang sesuatu amalan (Franco, 1966). Antara falsafah pendidikan pengembangan yang telah diterima secara universal adalah;
Falsafah 1- Individu akan berubah apabila ia merasai keperluan perubahan.
Falsafah ini menganggap seseorang individu tersebut adalah bijak, berkebolehan dan memerlukan pembaharuan apabila diberi peluang. Falsafah ini juga menyentuh aspek-aspek psikologi dan menyarankan bahawa penerima secara semulajadi mempunyai persediaan untuk mempelajari sesuatu.
Falsafah 2- Perubahan yang kekal hanya akan tercapai melalui proses pendidikan.
Ia bermakna seseuatu perubahan yang dialami seseorang perlu dilaksanakan secara beransur-ansur, bersistematik dan paling penting beralku perubahan daripada aspek-aspek pendidikan seperti perubahan pengetahuan (kognitif), kemahiran (psikomotor) dan sistem idea (Knowles, 1973)
Justeru itu, untuk masyarakat terus kekal menghayati perubahan yang dibawa, ketiga-tiga kombinasi tahap perubahan itu perlu dialami. Masyarakat akan mempelajari, menerima dan meyakini sesuatu pembaharuan hanya apabila ia dicuba dan dipraktikkan sendiri.
Falsafah 3- Manusia akan sampai ke tahap pencapaian yang tinggi jika mempunyai peluang berbuat demikian.
Sedia maklum, proses pendidikan merupakan proses yang beransur-ansur dan memakan masa. Dalam konteks kerja pengembangan, ia bergantung kepada faktor-faktor persekitaran dan suasana pembelajaran. Harus diingatkan, setiap individu mempunyai kekuatan tertentu untuk mempelajari sesuatu dan ciri ini perlu digembleng untuk membantu individu tersebut membaiki taraf hidupnya.
Falsafah 4- Pengembangan bermula di peringkat penerima.
Sebagai contoh mudah, proses pengembangan mestilah bermula daripada keadaan dan situasi petani yang ada seterusnya beransur-ansur meningkat ke tahap lebih tinggi. Ini memerlukan hubungan yang rapat antara ejen pengembangan dengan penduduk tempatan melalui penelitian situasi dan membuat kajian dengan cara paling ringkas hingga ke tahap yang lebih kompleks.
Falsafah 5- Proses demokrasi adalah asas perubahan.
Secara umumnya, proses pendidikan yang membimbing dan menasihati masyarakat perlu menerapkan unsur-unsur demokrasi suapaya masyarakat dapat belajar tanpa menerima tekanan emosi
Falsafah 6- Masyarakat memerlukan kepimpinan.
Aktiviti-aktiviti pengembangan dan pembangunan masyarakat pada asasnya merupakan proses tindakan sosial yang melibatkan kelompok-kelompok manusia. Kelompok ini agak tidak kukuh tanpa kewujudan kepimpinan. Kepimpinan sekiranya ada membolehkan pengembangan mengoperasikan falsafah iaitu kejituan pengembangan ialah bekerja bersama-sama dengan penerima, bukan sekadar untuk penerima.
Falsafah 7- Semangat jaya diri sebagai asas kejayaan.
Pengembangan secara am nya merupakan suatu usaha ke arah membaiki kehidupan masyarakat di mana sahaja mereka berada. Ia bertujuan meningkatkan daya pembelajaran masyarakat melalui usaha-usaha masyarakat itu sendiri.
No comments:
Post a Comment