Pada Bab Ke-2 buku Pengembangan - Implikasi Ke Atas Pembangunan Masyarakat yang bertajuk 'Pengembangan Dan Kepentingannya Dalam Pembangunan'; sepertimana yang saya telah pilih sebagai bahan rujukan dan pembentangan ini, kita akan melihat akan peri pentingnya pendidikan pengembangan sebagai salah satu konsep yang perlu masyarakat dan komuniti setempat.
Di dalam bab ini juga, saya berminat unutk berkongsi berkenaan latar belakang sistem pengembangan di peringkat antarabangsa dan negara khususnya di peringkat negara Malaysia.
Perkembangan Konsep Pengembangan Negara
Secara keseluruhan menurut penulis, kerja-kerja pengembangan telah berlangsung lebih satu abad yang lalu di kebanyakan negara khususnya negara-negara maju.
Pada peringkat permulaan, konsep pengembangan bermula dan tertumpu pada perkhidmatan memberi pendidikan dan nasihat kepada para petani secara perseorangan dan diikuti secara berkelompok untuk meningkatkan produktiviti pertanian melalui pengamalan pertanian yang baik.
| Proses Pengembangan Melalui Dasar-Dasar |
Masa kini di kebanyakan negara, kerja pengembangan telah mempunyai skop yang luas, berkaitan dengan penyebaran maklumat dan pendidikan tidak formal untuk faedah dalam kehidupan keluarga dan masyarakat di desa dan di bandar.
Begitu juga istilah kerja pengembangan berbeza mengikut masa dan tempat. Antara istilah yang membawa maksud kerja pengembangan pada sepanjang tempoh evolusi pengembangan ialah khidmat nasihat, pengajaran pertanian, pengembangan pertanian, penyebaran maklumat pertanian, pendidikan dewasa dan pendidikan tidak formal.
Secara ringkasnya evolusi pengembangan berlaku di beberapa buah negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, India dan Jepun. Amerika Syarikat dan United Kingdom diakui banyak pihak banyak mempengaruhi sistem dan konsep pengembangan di negara-negara yang dijajahi sekitar zaman perang.
Proses Pengembangan Di Malaysia Sepanjang 5 Dekad
Negara Malaysia, sebagaimana kebanyakan negara yang 'muda' dan sedang membangun banyak dipengaruhi oleh penjajah dan kuasa-kuasa luar. Ini kerana pihak penjajah kebanyakan berminat memperkenalkan sistem pengembangan demi kepentingan dan manfaat kepada mereka ketika itu.
Sistem pengembangan di Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai Tanah Melayu) berlaku apabila pihak British memperkenalkan Jabatan Pertanian pada 1905 (ms.40). Fungsi awal Jabatan Pertanian ini secara umum bertanggungjawab ke atas semua fungsi pembangunan dalam sektor pertanian.
Walaubagaimanapun pada peringkat awal aktiviti pertanian di Tanah Melayu hanya tertumpu kepada jenis tanaman utama seperti getah dan padi sebagai tanaman komersil. Namun usaha ini agak kurang berjaya apabila berlaku ketidakseimbangan berlaku dalam pembangunan kedua-dua pengeluaran komoditi tersebut atas dasar-dasar kapitalime kolonial.
Isu kesan tidak seimbang antara sektor perladangan dan sektor tani makin dirasai apabila dasar pertanian dilihat daripada aspek sistem pemilikan dan penggunaan tanah. Tanah-tanah yang bernilai tinggi dan hampir dengan jalan raya diperuntukkan khusus untuk sektor perladangan sementara penduduk hanya dibenarkan memiliki tanah yang kurang bernilai dan berpotensi seperti jauh di pedalaman.
Tahun 1956 merupakan tahun perubahan penting dalam sejarah Jabatan Pertanian apabila penubuhan rasmi pusat latihan pertanian, 'Pusat Latihan & Pembangunan Luar Bandar' (RETDC) yang terletak di Bumbung Lima, Seberang Prai Pulau Pinang. Ini membuktikan konsep pendidikan dihayatai dalam mengembangkan pengetahuan dan pendidikan kepada para petani (ms.43) Pusat ini terus berfungsi sehingga hari ini.
Menjelang Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975), suatu dasar yang baru telah dibentuk iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ia bertujuan membaiki kepincangan dasar-dasar pembangunan sebelumnya ke arah pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat khususnya daripada aspek-aspek ekonomi.
Kewujudan DEB telah membawa satu perubahan daripada segi dasar pembangunan, struktur kementerian dan organisasi serta program-program pembangunan yang mempunyai perspektif yang lebih luas dan sensitif terhadap situasi sosial dan ekonomi masyarakat. (ms.47)
Tahun 1970-an dilihat merupakan zaman yang banyak mengubah corak pembangunan di Malaysia ke arah corak tempatan yang mana sebelum itu lebih mirip kepada kehendak dan keperluan pihak luar.
Tema pembangunan pertanian bermula 1970-an lebih kepada konsep pertanian bersepadu. Ia mengutamakan pembangunan sektor tani daripada semua aspek secara seimbang seperti pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran pertanian; pembangunan kawasan dan infrastruktur serta perubahan sosiobudaya masyarakat yang dapat menghasilkan masyarakat lebih berdikari, responsif terhadap pembaharuan serta menjadikan pertanian sebagaio satu pekerjaan yang mampu menjamin kehidupan lebih sempurna dan tidak lagi dilihat sebagai gaya hidup masyarakat tradisional (ms.47)
Proses kerja pengembangan menjelang 1980-an pula merupakan dekad yang merangkai program-program perkhidmatan, yang bermatlamat dan berfungsi menuju satu tugas penting di antara semua agensi dan institusi berkaitan pertanian sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Rumusan
Semua proses kerja pengembangan di Malaysia sepanjang hampir 5 dekad yang lalu ternyata merupakan satu proses evolusi yang panjang. Jika di awalnya ia bermula dengan satu sistem yang agak mudah dan mempunyai matlamat jangka pendek, ia kemudian menjadi satu rangkaian evolusi kerja pengembangan yang agak kompleks dan bermatlamat murni meningkatkan nilai kesejahteraan masyarakat khususnya yang berada di luar bandar.
No comments:
Post a Comment